Friday, March 6, 2009

Peringatan besar untuk wanita

Peringatan Besar buat Kaum Wanita

Dipetik dari Kitab Muhimmah karangan Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathoni 1384 Hijrah.

Diceritakan oleh Sayyidina Ali RA.; Adalah pada suatu hari masuk aku ke dalam rumah Nabi SAW. dan ada sertaku isteriku, Siti Fatimah RA. Maka tatkala aku dekat dengan pintu, maka sabda Nabi SAW.

"Siapa yang dipintu itu?"

Maka sahut Siti Fatimah;
"Kami dengan suami kami, Ali. Hamba datang untuk menghadap engkau ya Rasulullah".

Maka tatkala Rasulullah membuka pintu bagi kami, tiba-tiba kami dapati akan Nabi hal keadaannya menangis akan sebagai tangis yang sangat.

Maka kataku(Sayyidina Ali RA.) baginya;

"Penebusmu [adalah] aku, engkaulah bapaku dan ibuku Ya, Rasulullah. apakah yang menyebabkan engkau menangis?"

Maka sabda Rasulullah SAW.;

"Bahawa sesungguhnya telah aku lihat pada malam mikraj, beberapa perempuan daripada umatku di dalam siksa yang amat sangat. Maka sangatlah salah pekerjaan mereka itu., kerana itulah yang menyebakan aku menangis kerana keadaan mereka yang tersangat siksa".

Berkata Sayyidina Ali RA.;

"Ya, Rasulullah, bagaimanakah engkau lihat akan keadaan mereka itu?"

Maka sabda Rasulullah SAW.;

Telah aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya; dan

Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua kakinya pada hal terikat lagi terlipat dan telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa itu dengan dua tangannya daripada pihak belakang lalu dilumurkan minyak tanah pada badannya dan dituangkan air panas ke dalam lehernya; dan

Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk ke dalam lehernya. (Ada pun buah zaqqum itu adalah buah kayu di dalam neraka yang amat pahit dan apabila memakan mereka itu akannya, nescaya menggelegak (mendidih) segala isi perut mereka itu, dan otak dan gusi mereka itu dan keluar lidah apinya daripada mulut mereka itu) dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung pada hal memakan ia akan daging dirinya manakala api neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung lagi menambat oleh segala malaikat akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan atas badannya itu beberapa ekor ular dan kala hak keadaannya memakan ia(ular dan kala) akan dagingnya dan meminum ia(perempuan) akan darahnya; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya buta dan tuli dan kelu. Di dalam kerongkongnya api neraka pada hal keluar otak daripada kepalanya dan lagi mengalir ke dalam hidungnya dan segala badannya itu amat busuk lagi berputar-putar (menggelupur) seperti terkena penyakit yang besar; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya dipotong segala daging badannya daripada hadapan hingga ke belakang daripada segala anggota dengan gunting api neraka; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya hitam segala mukanya dan dua susunya dan api memakan isi perutnya; dan lagi

Aku lihat seorang perempuan yang tergantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan di atasnua itu beribu-ribu warna daripada azab; dan

Aku lihat pula seorang perempuan atas rupa anjing dan api neraka itu masuk daripada bawah duburnya dan keluar daripada ia{api} daripada mulutnya dan segala malaikat itu memukul mereka itu akan kepalanya dan badanya dengan pemukul api neraka.

Kata Sayyidina Ali RA;

Maka berdirilah Siti Fatimah RA. kepada Nabi SAW. lalu berkata;

"Hai kekasihku dan cahaya mataku, khabarkan olehmu apa dosa-dosa mereka itu hingga jatuh atas sekelian mereka itu dengan berbagai-baga siksaan itu?"

Maka sabda Nabi SAW.;

Ada pun perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; maka bahawa sesungguhnya ia tiada mahu menutup rambutnya daripada lelaki yang haram memandang dia,

Dan adapun perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya; maka bahawa sesungguhnya ia menyakiti akan suaminya.

Dan adapun seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk ke dalam lehernya; maka sesungguhnya ia memberikan air susu suaminya [kepada bayi yang lain] dengan tiada izin suaminya.

Dan adapun perempuan yang yang tergantung dengan dua kakinya di dalam kerongkongan api nereka itu; maka bahawa sesungguhnya ia keluar rumah dengan tiada izin daripada suaminya.

Dan adapun perempuan yang tergantung dan memakan ia akan tubuhnya dan api neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya; maka bahawa sesungguhnya ia memperhiasi tubuhnya kerana orang lain dan tiada memperhiasi bagi suaminya.

Dan adapun perempuan yang tergantung lagi menambat oleh segala malaikat akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan atas badannya itu beberapa ekor ular dan kala hak keadaannya memakan ia(ular dan kala) akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya; bahawa sesungguhnya ia di dalam dunia tiada hendak bersuci badannya dan tiada hendak mandi junub dan haid dan daripada nifas dan meringan-ringan akan sembahyang.

Dan adapun perempuan yang tergantung hal keadaannya buta dan tuli dan kelu. yang di dalam kerongkongan api neraka; maka bahawa sesungguhnya ia mendatangkan daripada anak zina dan ditambatkan kepada batang leher suaminya. (perempuan yang menduakan suaminya hingga mendapat anak zina dan dinyatakan anak itu adalah hasil daripada suaminya).

Dan adapun perempuan yang tergantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai; maka sesungguhnya ia sangat mengadu-ngadu (adu domba/batu api) lagi amat dusta.

Dan adapun perempuan yang seperti rupa anjing dan api masuk ia ke dalam mulutnya dan keluar ia daripada duburnya; maka bahawa sesungguhnya ia adalah sangat membangkit akan manusia (mengungkit-ungkit pemberian atau pertolongan) lagi banyak dengki mendengki

SEMOGA MAMPU MEMBERIKAN PERINGATAN KEPADA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SEKELIAN.

Rahsia suami isteri bahagia

Rumahtangga merupakan kelompok terkecil di dalam sesebuah negara. Ia dibentuk oleh dua atau lebih individu. Andainya negara diibaratkan seperti rumah, maka rumahtangga ialah asas atau tapaknya. Dalam memperjuangkan sebuah negara Islam, asas inilah yang perlu dibangunkan terlebih dahulu. Jika asasnya kukuh, akan kukuhlah negara yang ditegakkan nanti. Tetapi jika sebaliknya, negara yang dapat ditegakkan itu tidak akan bertahan lama. Ia akan runtuh kembali sebelum mencapai matlamatnya.

Negara atau kuasa memerintah adalah alat untuk menegakkan hukum hakam Allah. Matlamat akhirnya ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Sebelum hukum-hakam Allah itu ditegakkan di dalam negara yang merupakan kelompok yang besar, ia perlu terlebih dahulu ditegakkan di dalam kelompok-kelompok yang kecil iaitu individu dan rumahtangga.

Tegasnya, perjuangan menegakkan negara Islam mesti bermula dari peringkat rendah. Ibarat tumbuhnya sebatang pokok; ia mesti bermula dengan benih, yang kemudiannya bertunas, membesar, membentuk batang, dahan dan ranting-ranting, seterusnya mengeluarkan daun, berbunga dan berbuah.

Inilah yang dikatakan sunatullah iaitu peraturan yang ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Peraturan ini tidak akan berubah kecuali dengan kehendak Allah sendiri, sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

"Sekali-kali kamu tidak akan mendapati peraturan Allah itu (sunnatullah) berubah, sekali-kali kamu tidak akan mendapati peraturan Allah itu bertukar ganti." -Al Fatir: 43

Dalam hal ini, kita sudah diberi panduan yang jelas. Lihatlah kejayaan Rasulullah membentuk individu, rumahtangga dan masyarakat Islam hingga membolehkan tertegaknya negara Islam di Madinah. Apa yang Rasulullah lakukan ialah menanamkan iman dan jiwa tauhid yang mendalam di dalam diri individu-individu. Mereka ini kemudiannya membentuk rumahtangga-rumahtangga Islam sebagai asas pembentukan sebuah negara Islam.

Apabila Rasulullah diperintahkan menyampaikan Islam ke tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliah, orang pertama yang diajarkan tentang Islam ialah isteri baginda, Siti Khadijah. Kemudian Rasulullah mengajak sahabat yang rapat dan keluarga yang hampir dengan baginda. Jalan ini jugalah yang mesti ditempuh oleh pejuang-pejuang Islam. Lebih-lebih lagi, suasana masyarakat pada akhir zaman ini sudah menyerupai masyarakat jahiliah pada zaman Rasulullah mula dibangkitkan.

Oleh itu, adalah lebih utama menegakkan hukum-hakam Allah di dalam kolompok yang kecil sebelum menegakkannya di dalam kelompok yang lebih besar. Kalau rumahtangga pun belum berwajah Islam bagaimana kita boleh mengharapkan tertegaknya negara Islam. Malah, dalam keadaan ini, untuk melahirkan masyarakat Islam pun tidak mungkin. Di samping itu, adalah lebih mudah untuk mendidik individu-individu di dalam kelompok yang kecil daripada mendidik individu-individu di dalam kelompok yang lebih besar.

Pendidik amat penting kerana hasil daripada pendidikanlah manusia dapat menerima dan melaksanakan hukum-hakam Allah. Pendidikan jugalah yang dapat mengubah manusia daripada jahat kepada baik, daripada benci-membenci kepada berkasih sayang, dan daripada berperang sesama sendiri kepada bertolong bantu, yang semuanya bakal menjamin wujudnya sebuah negara yang "aman makmur dan mendapat keampunan Allah." _ (As Saba': 15)

Untuk mendidik manusia, rumahtangga merupakan institusi yang asas dan terpenting kerana di situlah bermulanya kehidupan setiap individu. Dengan kata lain, rumahtangga adalah gelanggang bagi melahirkan individu-individu yang terdidik dengan Islam. Apabila individu-individu telah terdidik, mudahlah mereka ditadbir, diperintah atau dicorakkan mengikut Islam. Allah berfirman yang maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api Neraka." - At Tahrim:6

Memelihara diri dan ahli keluarga daripada api Neraka bermakna mengamalkan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Atau dengan kata lain, menegakkan hukum-hakam Allah. Jadi, Allah memperingatkan umat Islam supaya melihat ke dalam diri dan ahli keluarga masing-masing. Pastikan bahawa tidak ada sesuatu pada rumahtangga yang boleh menyebabkan diri dan ahli keluarga terhumban ke Neraka.

Jadikanlah rumahtangga sebagai sebuah gelanggang kecil, di mana suami ibarat ketua negara, isteri sebagai menteri manakala anak-anak sebagai rakyat jelata. Rumahtangga Islam akan lahir apabila suami menjalankan tanggungjawab dengan baik; isteri taat, menjaga meruah dan berwatak pendidik; dan anak-anak menurut kata serta berakhlak.

Sebagai pemimpin, suami bertanggungjawab memastikan ahli-ahli keluarganya (anak isteri) tidak melanggar hukum-hakam Islam. terlebih dahulu, suami mesti mengajar ilmu fardhu ain kepada anak isterinya, dan kalau dia tidak mampu, dia wajib menghantar mereka belajar dengan guru yang dipercayai. Sudah tentu, si suami itu sendiri mesti mengetahui sekurang-kurangnya asas ilmu fardhu ain yang meliputi bab aqidah, syariat dan akhlak.

Suami sendiri tidak banyak bergelanggang di dalam lingkungan rumahtangga kerana dia adalah milik masyarakat. Tetapi dia mesti menetapkan dasar-dasar, memberi panduan-panduan yang jelas dan membimbing anak isterinya ke jalan yang diredhai Allah. tegasnya, dia bertanggungjawab melahirkan suasana Islam di dalam rumahtangganya.

Di sinilah pentingnya peranan isteri sebagaai pembantu. Hanya wanita yang solehah dan bijaksana yang dapat membantu suaminya menjalankan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya. Rumahtangga merupakan gelanggang jihad yang paling utama bagi kaum wanita. Sebab itulah dikatakan rumah itu Syurga bagi wanita. Rasulullah bersabda yang maksudnya:

"Apabila seorang wanita mendirikan sembahyang lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga." - Riwayat Al Bazzar daripada Anas.

Seorang wanita umpama jantung di dalam rumahtangga. Jika jantung diserang penyakit, seluruh anggota akan lemah. Begitulah halnya jika isteri tidak menjalankan tugas dan peranan yang sepatutnya, terganggulah kelancaran perjalanan sesebuah rumahtangga, atau pincanglah rumahtangga itu.

Kaum wanita mesti bersiap sedia untuk melakukan tugas yang berat ini. Walaupun suami merupakan ketua keluarga, tetapi isterilah yang bertanggungjawab membereskan kebanyakan urusan dalam rumahtangga termasuk urusan pendidikan anak-anak dan menjaga kebersihan serta kesihatan keluarga.

Isteri mesti menganggap tugas ini satu tugas yang penting, bukan tugas sampingan. Justeru itu, apa saja yang dilakukan, ia mestilah seboleh mungkin mencapai tahap yang maksimum. Dia akan memikirkan, misalnya, bagaimana menyediakan makan minum yang murah tetapi mengandungi zat yang tinggi. Atau membeli pakaian dan perhiasan rumah yang walaupun mungkin mahal sedikit tetapi tahan lama, selagi tidak membazir dan bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk kepada jiran tetangga. Rumah dihias secara sederhana seperti yang dituntut oleh Islam. Sementara itu, wang yang berlebihan diagihkan untuk perjuangan Islam atau untuk orang yang berhak menerimanya sebagai saham Akhirat.

Suami akan berasa terbantu jika isteri bijak menyelesaikan urusan rumahtangga, termasuk menyelesaikan segala masalah yang boleh diselesaikan sendiri tanpa merujuk kepada suami. Apatah lagi jika isteri pandai melayan suami dengan mencontohi sikap dan akhlak wanita-wanita solehah zaman dahulu (salafussoleh).

Misalnya, isteri menyambut kepulangan suami di muka pintu, mencium tangan suami sebaik-baik suami masuk, menghidangkan makanan dengan tertib, menemani suami makan, menunaikan hajat suami jika suami berhajat dan kemudian melepaskan suami keluar rumah semula dengan senyuman paling manis di muka pintu. Inilah antara hiburan bagi seorang pejuang!

Dengan itu, suami pulang ke rumah dan keluar dari rumah dengan dada yang lapang. Keletihan atau beban tugas yang dibawa pulang akan terasa berkurang, dan tugas berikutnya akan dihadapi dengan kekuatan baru.

Sebab itu, tanpa institusi rumahtangga yang berwajah Islam, perjuangan menegakkan hukum-hakam Islam di peringkat yang lebih luas akan gagal. Pejuang agama yang urusan rumahtangganya sendiri belum beres tidak akan dapat berjuang dengan sepenuh hati. Dalam keadaan ini, janganlah negara, masyarakat Islam pun tidak akan mampu ditegakkan, disebabkan tidak ada persediaan jiwa dan fikiran.

Rumahtangga adalah juga tempat untuk melahirkan generasi bertaqwa. Anak-anaklah yang diharap membentuk tenaga-tenaga teknokrat untuk sebuah negara Islam yang dicita-citakan. Di sini, isteri berperanan sebagai pendidik, bukan sekadar penjaga. Seorang pendidik akan sentiasa terdorong untuk mengubah dan mencorakkan seseorang, manakala penjaga sekadar memastikan orang yang di bawah jagaannya cukup keperluan asasnya seperti makan minum dan pakaian.

Dalam mendidik anak-anak, seorang wanita mesti cuba melahirkan anak-anak yang beriman dan berakhlak. Maknanya, iman dan akhlak mesti dijadikan dasar pendidikan kepada anak-anak. Inilah juga yang seharusnya menjadi dasar pendidikan negara. Jika ia telah dapat diwujudkan di dalam institusi rumahtangga, mudahlah ia diwujudkan di dalam negara Islam kelak.

Oleh kerana ibu bapa adalah guru atau pendidik yang pertama dalam kehidupan anak-anak, ia mesti menunjukkan contoh yang baik. Anak-anak mudah mengikut sekiranya didikan yang disampaikan itu dipraktikkan sendiri oleh ibu bapanya. Tegasnya, pendidikan untuk anak-anak tidak terbatas di sekolah atau dalam suasana formal, sebaliknya mestilah bersambung di rumah atau dalam suasana tidak formal. Dan hanya rumahtangga yang berwajah Islam saja yang dapat melahirkan suasana pendidikan tidak formal yang sesuai bagi membentuk generasi beriman dan berakhlak, yang menjadikan Allah sebagai matlamat hidup. Sepertimana maksud sebuah firman Allah:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku." - Az Zaariat: 56

Antara akhlak yang perlu dipupuk di dalam diri anak-anak ialah sifat saling berkasih sayang. Ini amat penting sebagai asas mewujudkan ukhuwah Islamiah di peringkat negara. Ukhwah merupakan antara kekuatan asas umat Islam.

Selain itu, pergaulan anak-anak mesti dibataskan. Anak-anak lelaki jangan digalakkan bermain dengan anak-anak perempuan orang lain, dan begitulah sebaliknya. Apabila mereka besar kelak, perkara ini dapat dipraktikan semasa bermasyarakat. Bila wujud negara Islam, dengan sendirinya penyakit yang timbul akibat bergaul bebas dapat dicegah.

Rumahtangga jugalah tempat melahirkan anak-anak yang kuat jiwa dan sempurna akal. Anak-anak yang kuat jiwa mesti dilatih bersusah payah dan hidup secara sederhana.

Di kalangan wanita salafussoleh, Asma binti Abu Bakar terkenal sebagai wanita yang tegas dan mendidik anak-anak. Anaknya Abdullah bin Zubair dilatih sejak kecil supaya tidak takut kepada sesiapa pun melainkan Allah. Khalifah Umar ibnu Khattab pernah terserempak dengannya ketika Abdullah sedang bermain-main dengan kanak-kanak lain. Semua kanak-kanak lari melainkan Abdullah. Apabila ditanya, dengan berani dia menjawab:

"Jalan ini cukup luas untuk sesiapa lalu, di samping itu, aku tidak membuat kesalahan. Perlu apa untuk aku lari daripadamu, wahai Amirul Mukminin."

Anak-anak seperti inilah yang diharap menjadi penyambung perjuangan ibu bapanya untuk mendaulatkan Islam. Sekiranya kaum wanita berjaya melahirkan pelapis-pelapis seperti ini, bererti mereka telah berjaya dalam satu tahap menuju pembentukan negara Islam

Walaupun isteri berkewajipan mengatur rumahtangga, namun ini tidak bermakna ia tidak boleh langsung bergelanggang di luar rumah. Wanita dibenarkan bergelanggang di luar rumah asalkan tugas asasinya di rumah dapat diselesaikan. Maknanya, tugas wanita di rumah tetap merupakan tugas nombor satu, dan selagi tugas itu tidak selesai, wanita tidak boleh pergi kepada tugas yang lain seperti berdakwah.

Bagaimanapun sekiranya ada pengasuh yang boleh mengambil alih tugas mendidik anak-anak di rumah, dan wanita memang diperlukan keluar rumah untuk berdakwah, hal ini adalah dibenarkan. Di sinilah perlunya hidup berjemaah. Banyak masalah pengurusan rumahtangga boleh diselesaikan melalui jemaah.

Sebuah jemaah Islam yang baik ialah yang mempunyai unit khusus untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Jika suami keluar berjuang, isteri diletakkan di bawah tanggungjawab jemaah. Jika isteri turut bergelanggang di luar rumah, anak-anak menjadi tanggungjawab jemaah. Bagi wanita yang bermadu pula, soal-soal tadi dapat diselesaikan dengan bantuan madu-madunya. Dalam hal ini, poligami menjadi penyelamat masalah. Oleh itu, poligami merupakan sebahagian daripada hukum hakam yang perlu ditegakkan di dalam institusi rumahtangga.

Pendek kata, rumahtangga adalah asas bagi segala-galanya yang hendak ditegakkan di peringkat negara. tetapi hakikat inilah yang tidak diambil berat oleh pejuang-pejuang Islam hari ini. Rumahtangga pejuang Islam sendiri tidak mencerminkan rumahtangga Islam. Masih terdapat unsur-unsur jahiliah di dalamnya. Poligami masih tidak dapat dirasakan sebagai tuntutan agama. Anak isteri masih seronok bergaul bebas, dan anak-anak dibiarkan menceduk ilmu di sekolah yang berunsur sekular.

Pejuang-pejuang Islam sebaliknya ghairah mahukan kuasa memerintah negara dengan menyertai pilihanraya. Sedangkan pilihanraya bukanlah satu-satunya cara untuk menegakkan negara Islam. Masih banyak lagi jalan yang boleh ditempuh. Mengapa beria-ia mahu mentadbir negara kalau rumahtangga pun belum dapat ditadbir secara Islam yang syumul?

Cara terbaik untuk menegakkan negara Islam ialah dengan melahirkan sebanyak mungkin individu muslim yang mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk mengamalkan Islam dalam setiap aspek kehidupan serta mampu pula ke arah itu. Dari situlah terbentuknya rumahtangga-rumahtangga contoh yang akan menyambung kepada pembentukan masyarakat dan seterusnya negara Islam. Semua ini mesti bermula dengan dakwah dan tarbiah (pendidikan). Inilah juga jalan untuk mengubah suasana dunia kepada suasana Islam.

Selain itu, jemaah Islam mesti mewujudkan perkampungan-perkampungan Islam contoh untuk menampung keluarga-keluarga ahli. Supaya dengan itu, mereka dapat bertolong bantu dalam suasana Islam. Di situ dapat dibangunkan sistem hidup berdikari, sekurang-kurangnya untuk memenuhi keperluan asa sesebuah rumahtangga seperti pengeluaran barang makanan Islam.

Jadi, terbentuknya negara Islam adalah natijah daripada tertegaknya hukum-hakam Allah di dalam rumahtangga, masyarakat dan jemaah. Prosesnya lembut tetapi tersusun rapi secara berperingkat-peringkat.

Cara khusyuk dalam solat

Cara Mengkhusyukkan Solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?".

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku ber-wudhuk zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhuk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat
2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
3. Tidak tergila-gilakan dunia
4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
5. Tinggalkan sifat berbangga
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. Meninggalkan sifat dengki."

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah, Syurga di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku, Malaikat Maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa dalam solat ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibanding-kan dengan Hatim.